DI MANA PERUNTUKAN BAJET 2012 UNTUK MENANGANI GEJALA SOSIAL MASYARAKAT YANG SEMAKIN MERUNCING?


Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Jumaat lepas dikatakan satu bajet yang responsif kepada rintihan semasa rakyat umum. Banyak peruntukan berjuta ringgit dikhususkan untuk memperbaiki kehidupan golongan rakyat kelas biasa dan bawahan yang sememangnya wajar diberikan pembelaan.
.
Malangnya, tidak terdapat pula satu peruntukan khas dalam bajet tersebut yang menjurus kepada usaha serius menangani gejala sosial dan seksual yang semakin membarah dan meruncing dalam masyarakat hari ini. Betapa saban hari semakin meningkat pelbagai jenis gejala sosial dan seksual yang berlaku. Sebagai contohnya, terdapat peningkatan kes pembuangan bayi yang begitu ketara. Dari 79 kes yang dilaporkan oleh PDRM pada tahun 2009, ia meningkat sebanyak 15% kepada 91 kes sepanjang tahun 2010. Menurut satu laporan JKM, dari tahun 2004 – 2009, sebanyak 16% bayi yang terdampar ditemui di kawasan pembuangan sampah! Semakin ramai golongan remaja yang sepatutnya menjadi harapan bangsa dan negara, terbabit dalam pelbagai jenayah seperti samun, peras ugut, ragut, gangsterisme, ketagihan dadah dan alkohol, rogol, cabul, bunuh. Jenayah sadis yang membabitkan ahli keluarga terdekat juga semakin berleluasa.
.
Peningkatan gejala sosial yang semakin kritikal ini amat membimbangkan dan menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada ahli masyarakat. Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk segera menangani isu gejala sosial ini dengan pelbagai langkah pencegahan dan rawatan yang lebih berkesan, agar ianya tidak semakin parah dan di luar kawalan. Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan khususnya dari pihak berwajib, termasuk memperuntukkan sumber kewangan yang mantap dan stabil bagi melaksanakan usaha yang penting ini.
.
Usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata, tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang menitikberatkan konsep amanah, integriti dan pertanggungjawaban, dibimbangi akan lebih mendatangkan mudharat dan kerosakan.
.
Sebagai pihak sukarelawan dan NGO yang sekelian lama terbabit secara langsung dengan usaha pencegahan dan rawatan pemulihan kelompok yang terlibat dengan gejala sosial dan seksual, kami yang mewakili institusi-institusi yang disenaraikan di bawah sepakat membuat penegasan menuntut semua pihak khususnya pihak berwajib :
.
1. Memberikan perhatian, tumpuan dan keutamaan sewajarnya terhadap peningkatan gejala sosial yang serius melanda negara, dan tidak mengenepikan atau menganggap remeh permasalahan tersebut.
2. Meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas dalam membangunkan sistem sosial yang berpaksikan keadilan, kesejahteraan, akhlak luhur dan nilai terpuji.
3. Menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) bagi kelompok yang telah terjebak dan terjerumus ke dalam kancah gejala sosial, agar mereka dapat dibimbing untuk bangkit kembali membina kehidupan baru yang lebih bermakna.
4. Memperuntukkan belanjawan yang mencukupi untuk membiayai semua usaha dan langkah-langkah di atas, sebagai satu komitmen padu yang membuktikan kesungguhan mahu menangani permasalahan peningkatan gejala sosial yang semakin meruncing.
.
Kami memohon agar penegasan ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kepimpinan negara. Jangan biarkan kami menunggu setahun lagi untuk pembentangan Bajet 2013. Itu pun belum tentu suara dan permintaan kami akan diambilkira.
.
Ke arah Malaysia yang lebih sejahtera!
.
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Pengerusi , Lembaga Pengarah Induk (LPI)
Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah
.
Bersama wakil-wakil dari :
• Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID Malaysia)
• Rumah Puteri Arafiah
• Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan & Iman Malaysia
• Rumah Perlindungan & Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah
• Kem Modal Insan KEWAJA
• Baitul Islah PERKID
• Pertubuhan Inisiatif, Penyelidikan, Pembangunan & Pemerkasaan Wanita (WIRDA)
• Rumah Kebajikan Darul Islah
• Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq
• Keluarga Besar Norlina Alawi
• Gerakan Selamatkan Aqidah (GESA)
• Gerakan Ihsan Selangor

dari http://www.raudhatussakinah.com/

Sabarlah…

“Rimas mak tengok hang kat sini. Pi dok kat depan.”

Mungkin itu antara dialog yang kedengaran pada zaman sekarang apabila anak perempuan yang meningkat remaja mula menjengah dapur. Sebahagian ibu zaman moden lebih senang menguruskan dapur sendirian. Ya lah.. serba tak kena apabila anak-anak menolong di dapur, periuk belanga berselerak, pinggan mangkuk tidak disusun dengan betul, dapur akan bersepah. Jika ini terjadi banyak masa pula digunakan untuk mengemas semula dapur mengikut piawaian dan citarasa si ibu. Lebih baik dari awal dia sendiri yang lakukan.

Begitu juga dengan urusan kain baju. Jika diminta membasuh baju, anak-anak ini akan mencampakkan sebakul pakaian terus ke dalam mesin. Tidak dihirau tentang warna atau barang-barang kecil yang mungkin ada di dalam poket baju atau seluar. Bila selesai putaran mesin barulah disedari baju yang ‘pelik’ warnanya, wang kertas dan kadang-kadang telefon bimbit ayah terrtinggal dalam poketnya. Apabila tiba masa melipat kain pula, cara lipatan tidak sama dengan cara si ibu. Maka ibu akan mula berleter…

Itulah kerenah ibu dan anak zaman moden. Menjadi ibu bukanlah satu perkara yang mudah, terutama pada zaman yang penuh dengan teklonogi ini. Masing-masing mengejar masa. Banyak peralatan yang dibeli untuk menjimatkan masa, namun masa pula seolah-olah berlari pantas meninggalkan kita. Masa 24 jam itu seperti tidak mencukupi.

Jika kita boleh bersabar melayan kerenah anak-anak semasa mereka mula mengenal dunia, maka tingkatkanlah kesabaran itu ketika mereka mula mengenal erti hidup. Ajarlah anak-anak remaja untuk melakukan kerja-kerja rumah, baik yang lelaki atau perempuan. Pejamkan mata apabila melihat ketidaksempurnaan yang ada. Berkat latihan yang berterusan pasti ia akan menjadi sempurna juga.

Pastinya yang perempuan akan lebih banyak melakukan kerja-kerja ini secara amnya. Bagi yang lelaki pula, bantuan yang dihulurkan kepada isterinya kelak, apabila sudah berumahtangga, amatlah dihargai. Tabiat yang baik itu akan terus melekat pada dirinya.

Bukan semua orang akan hidup senang dan kesenangan itu bukanlah milik hakiki manusia. Saya melihat kisah seorang sahabat dengan penuh keinsafan. Suatu ketika dahulu dia hidup senang lenang. Ujian Allah datang dan dia pasrah. Terkeluar juga dari mulutnya di peringkat awal bahawa tidak pernah terlintas untuk berjualan kuih di tepi jalan untuk menampung hidup.

Komunikasi dengan anak remaja

Ketika anak-anak kita masih kecil lagi, belum faham apa yang kita tuturkan, kita dengan gembiranya akan bercakap-cakap dengan mereka. Tak henti-henti bercakap dengan mereka, ada sahaja usikan manja. Namun pelik jadinya. Semakin mereka fahami bahasa pertuturan kita, semakin kurang pula ibu dan ayah bercakap dengan mereka. Tika mereka mula meniti usia remaja (10 tahun), ayah akan menjadi lelaki Melayu kebanyakan (typical Malay father), yang bercakap bila perlu sahaja.. Ibu pula lebih banyak berleter.

Saya bukannya memperkecilkan tabiat lelaki Melayu, banyak nilai baik yang ada pada mereka. Cuma dalam soal komunikasi, saya rasa ia perlu diperbaiki. Anak-anak, terutama bagi yang perempuan, kehausan kasih dan sayang dari seorang lelaki dan mula mencarinya di luar. Mereka akan mudah terpedaya dengan kata-kata manis dari mana-mana lelaki yang dijumpai. Ramai yang suka mengambil kesempatan terhadap mereka ini.

Pada usia ini, jiwa mereka sangat rapuh. Ia merupakan titian dari alam kanak-kanak ke alam dewasa. Perubahan emosi berlaku seiring dengan perubahan fizikal mereka. Panduan dan bimbingan, dengan penuh hikmah dari orang tua, sangatlah diperlukan. Perbezaan pendapat dengan keluarga sangat kerap berlaku pada waktu ini. Mereka berasa sudah dewasa dan pendapat mereka betul.

Saidina Ali pernah berpesan supaya ibu bapa menjadi kawan kepada mereka pada peringkat ini, usia 14 tahun. Jadilah teman untuk mereka berbicara dan mengemukakan pendapat. Sekiranya kita tiada, sahabat lain yang dicari. Amat malang jika anak-anak ini bersahabat dengan orang yang merosakkan mereka.

Dalam satu program yang saya hadiri baru-baru ini, penceramah berpesan supaya bercakap-cakap dengan anak biarpun ketika mereka tidur. Ya.. kalau masa tidak mengizinkan, lakukanlah ketika itu. Apabila pulang dari kerja, lawati mereka di bilik tidur. Bagilah ciuman kasih dan rindu dari ibu dan bapa, bisiklah ungkapan sayang di telinga mereka. Nyatakan harapan kita. Sampaikan pesanan-pesanan kita. Secara zahirnya mereka tidak mendengar tetapi telinga mereka dapat menerima luahan-luahan tersebut dan menyimpan dalam minda bawah sedar mereka. Sedangkan ketika bayi masih di dalam kandungan ibu dinasihatkan supaya diperdengarkan dengan perkataan-perkataan yang baik (dan ayat-ayat suci Al Quran), apatah lagi ketika mereka sudah remaja. Telinga mereka sentiasa bersedia untuk mendengar ayat-ayat yang baik ini.

Saya berasa sedih dan kasihan melihat seorang penghuni di sini (Raudhatus Sakinah). Betapa dia rindukan ayahnya. Rindu untuk mencium tangan ayah. Teringin dipeluk oleh ayah. Cemburu apabila melihat dahi rakan dikucupi ayah. Kerana sebelum ini dia juga seperti gadis Melayu yang lain, tidak kisah tentang semua itu. ‘Pandai’ membawa diri sendiri. Doakanlah rindunya terubat sedikit masa lagi….

Inayah Isa

Cuti dan kerja

Tidak lama lagi pelajar-pelajar universiti akan bercuti. Kali ini memang bercuti panjang kerana adanya penyelarasan semester baru. Saya pasti ramai di kalangan mereka yang akan mencari kerja sementara semasa cuti ini. Ada yang akan bekerja di pejabat, di stesen minyak, di pasaraya atau di mana sahaja asalkan mendapat sedikit wang saku.

Alhamdulillah. Mereka masih memilih untuk mencari kerja yang halal. Sebagai ibu bapa atau penjaga, saya kira ada baiknya untuk sesekali berkunjung ke tempat kerja, ke rumah sewa mereka. Siasat sedikit latar belakang kawan-kawan mereka.

Macam-macam hal yang berlaku di luar sana. Ada tokey yang menyediakan rumah sewa. Pastikan rumah sewa yang berasingan lelaki dan perempuan. Ada kes di mana rumah yang di sewakan hanya sebuah. Para pekerja dilonggokkan beramai-ramai ke dalam rumah tersebut tanpa mengira jantina. Sudah lama perkara seumpama ini berlaku tetapi masyarakat tidak mengetahuinya. Yang tahu seolah-olah memejamkan mata.

Dalam satu kes yang kami pernah kendalikan. Dua pasangan remaja mendapat kerja di sebuah kedai telekomunikasi. Tokey menyediakan rumah sewa. Mereka berempat diberi satu bilik. Satu pasangan berhenti seminggu kemudian. Jadilah satu pasangan yang tinggal seperti belangkas. Pergi kerja bersama, balik kerja berjalan-jalan bersama dan balik rumah berkongsi bilik yang sama. Rutin ini berjalan beberapa bulan sehinggalah si gadis hamil. Pada keluarga diberitahu tinggal di rumah sewa, berasingan lelaki dan perempuan.

Ibu bapa zaman sekarang harus lebih berhati-hati dan perihatin. Perwatakan anak di rumah jauh bezanya ketika mereka bersama kawan-kawan. Sebahagian dari mereka dilihat menjaga solat dan masih membaca Al Quran ketika berada di rumah. Namun saya amat pasti ada sesuatu yang tidak kena pada solatnya, mungkin sekadar berlakon atau sekadar rutin.

Bukankah Allah telah mengatakan bahawa solat itu mencegah kemungkaran (rujuk surah Al Ankabut, ayat 45), menjadi bagi perisai bagi orang-orang yang beriman. Tidak mungkin Allah memungkiri janjiNya.

Awasilah anak-anak anda walau di mana mereka berada dan walau sebesar mana usia mereka. Tetapi harus diingat, biarlah dengan penuh hikmah bak pepatah Melayu ibarat menarik benang dalam tepung, benang tak putus, tepung tidak berselerak.

Sekiranya ibu bapa pening kepala dalam menyantuni mereka, sebenarnya mereka lagi bercelaru mencari jati mereka. Panduan dan bimbingan yang berterusan akan membawa mereka ke jalan yang betul. Usah biarkan mereka terkapai-kapai mencari arah tujuan hidup.

Inayah Isa
Nibong Tebal
15032011

Kebejatan sosial??

Kisah yang saya korek dari seorang remaja yang hamil luar nikah. Berbelit-belit ceritanya. Perasaan marah saya sudah hilang setelah beberapa lama bersama anak-anak sebegini, saya lebih kasihan mendengar kisah mereka.

Anak ini seorang pelajar IPT, berkawan dengan seorang lelaki,R, yang sudah bekerja. Hujung minggu dihabiskan di rumah kawan lelaki ini. Ibu menyangka dia berada di asrama. Talipon.. siapa juga boleh berkata’ “saya di asrama mak. Banyak kerja perlu disiapkan. Minggu ini saya tak balik rumah”.Itulah yang berlaku buat beberapa ketika.

Tiada apa yang baru dengan kisah di atas. Banyak kes RS sebegitu….

R tinggal bersama dengan kakaknya sekeluarga. Mereka tahu dia berada di sana dan tidak kisah pun apa yang gadis tadi lakukan bersama teman lelakinya. Berada di ruang tamu atau di dalam bilik tiada yang ambil peduli!

Di rumah itu juga tinggal seorang lagi anak gadis berusia 15 tahun, S. S pula mangsa keruntuhan rumahtangga ibu bapanya, lalu menumpang kasih pada anak muda,Y, yang merupakan anak saudara kepada R. Kini sudah dua orang anak lahir dari perkongsian hidup tanpa nikah dengan Y. Kenapa mereka tidak berkahwin sahaja? Ibu Y,iaitu kakak R memang tidak ambil peduli.

Y tidak memiliki kad pengenalan walaupun sudah berusia lebih 20 tahun. Dan atas alasan itulah yang digunakan untuk tidak berkahwin..”tak ada IC” Betul juga ya, macamana hendak bernikah jika tiada kad pengenalan!!

Buntu dibuatnya. Inilah angkara apabila orang tua tidak memainkan peranannya dengan betul.

Ayuh sahabat-sahabat sekalian. Marilah bersama-sama memikul tanggungjawab ini. Bimbinglah anak-anak di sekeliling kita. Jenguklah anak-anak saudara kita.

Sesungguhnya amat pedih azab dari Allah. Kita mohon perlindungan dariNya.

Inayah
18032011

Bantulah…

Hari ini saya ke hospital lagi untuk menjemput salah seorang pelatih.

Saya memerhatikan gelagat manusia semasa menunggu seorang sahabat. Dua buah kereta diletakkan di ruang menurun dan mengambil penumpang. Ada seorang tua berada di dalam kereta hadapan. Enjinnya menderum-derum kuat, jenis kereta orang muda. Kereta belakang pula ditinggalkan begitu sahaja. Jalan jadi sesak buat seketika kerana kedua-dua kereta itu menghalang lalu lintas.

Tiba-tiba muncul sepasang suami isteri yang telah lanjut usia. Si suami menolak isteri dalam kerusi roda. Beberapa saat kemudian baru saya sedar sebelah kakinya tiada dan berbalut dengan kain putih. Saya kagum melihat ketabahan mereka berdua. Masih tersenyum riang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Tidak lama selepas itu muncul pula seorang lelaki muda, rambutnya yang panjang diikat rapi, menolak sebuah kerusi roda kosong dan terus menjemput lelaki tua tadi. Sebelah kakinya juga tiada. Saya kira itu ayahnya. Dia menolak ayahnya ke klinik, membiarkan keretanya menderum-derum di situ. Dia datang kembali selepas itu untuk membawa keretanya ke parkir. Hati saya tersentuh.

Memang agaknya ‘cerewet’ urusan menghantar dan mengambil pesakit di hospital. Kehadiran pembantu sangatlah dihargai. Mana hendak mengangkat barang, ditambah pula hendak menolak kerusi roda. Kalau RS, ditambah lagi satu tugas iaitu untuk memegang bayi.

Biasanya saya ditemani oleh warden atau pelatih. Dalam keadaan tertentu saya adakalanya ke hospital seorang diri terutama apabila berada di perjalanan dan menerima panggilan dari hospital yang pelatih dibenarkan pulang. Hari ini saya bertuah kerana ditemani sahabat dari SPT, Eida, yang kebetulan berada di sekitar Seberang Jaya menguruskan syarikat beliau. Alhamdulillah..

Peristiwa yang sangat menginsafkan diri saya. Jagalah kesihatan diri dan keluarga.

Kasih sayang yang ditunjukkan oleh suami dan anak tadi amat menyentuh perasaan saya. Mereka yang sakit memang tidak terdaya, mengharap bantuan siapa sahaja yang ada.

Bantuan yang nampak kecil sebenarnya begitu bermakna bagi orang yang memerlukan. Bagi RS yang kecil-kecilan itu termasuklah hanya mengangkat beg ke kereta atau hanya menyorong kerusi roda. Semoga bantuan kecil-kecilan itu berat timbangannya apabila kita memerlukan di sana nanti.

Inayah
Farmasi Hosp Seb Jaya
09032011

Terima kasih semua..

Banyak perkara yang berlaku sejak kali terakhir saya menulis di sini.
Saya sendiri bercuti panjang. Hal ehwal pengurusan RS PP dipangku oleh warden dengan bantuan salah seorang ahli jawatankuasa pengurusan. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.. baik dalam ertikata meguruskan sebuah rumah bimbingan/perlindungan remaja puteri 

Pengalaman yang diperolehi adalah sesuatu yang sangat berharga dan sukar didapati di tempat lain. Menyantuni anak-anak remaja itu satu hal, menyantuni ibu bapa satu hal lagi. Bertambah kusut apabila institusi yang menyokong sebelum ini tiba-tiba menghentam RS, seperti dijatuhkan pihak lawan dalam gelanggang tinju. KO. Itulah sunnah perjuangan ini.

But a winner never quit.. Walau apapun halangan dan cabaran yang datang, kami akan terus berada di sini, Insya Allah. Pergantungan dengan Allah harus ditingkatkan lagi. Semoga keikhlasan terus mengiringi amal-amal kami. Itulah yang menjadi bekalan dalam perjalanan ini.

Sesungguhnya Allah tidak melihat hasil/output dari usaha-usaha ini. Hanya manusia sahaja yang suka membilang hasil output. Yang akan ditanya hanya tentang usaha-usaha ini. Soal hasil dan kesan.. Allah yang berhak memberi hidayah.

Dalam kami kebingungan mencari jalan keluar yang terbaik kepada masalah-masalah yang datang, ada sahaja pertolongan dari Allah. Ada sahaja insan-insan yang sudi membantu kami. Ya pertolongan dari sumber-sumber yang tidak kami pernah sangkakan. Saya terharu dengan kesungguhan sukarelawan yang datang sejauh Jitra yang datang saban minggu semata-mata untuk berkongsi sedikit ilmu dengan anak-anak di sini. Juga yang meluangkan masa dari Changlun untuk menceriakan mereka. Anak-anak ini berasa gembira dan dihargai. Mereka berusaha untuk memulihkan semangat dan jati diri para penghuni RS. Teringat saya kata-kata seorang dari sukarelawan tersebut setelah menghabiskan separuh hari di RS, “saya rasa flat bila habis sesi bersama mereka”.

Dalam pada itu ada juga yang sudi menghulurkan bantuan kewangan. Ada-ada sahaja ‘kerosakan’ dalam rumah itu. Mesin jahit rosak.. bertahan untuk beberapa minggu sahaja. Namun lebih baik ‘rosak’ dikerjakan oleh anak-anak RS daripada terbiar cantik disimpan. Banyak tangan yang mencuba, senanglah untuk rosak. Kos membaiki agak tinggi juga. Terima kasih kepada sumbangan yang diberi.

Semoga Allah mengganjari semua sumbangan, tenaga atau kewangan, yang diberikan dengan sebaiknya. Semoga Allah melindungi anak-anak dan saudara mara para sukarelawan/dermawan ini daripada terjebak dalam gejala sosial yang meruncing ini. Semoga Allah memberkati dan melimpahkan rezeki kepada mereka. Semoga Allah memberi ketenangan dalam hidup mereka. Semoga sumbangan ini menjadi amal-amal soleh mereka.

Terima kasih semua.

Inayah Isa
Nibong Tebal
25 Feb 2011

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.