Archive for May, 2009

“Dah penat buat baik?”

Bismillahirrahmanirrahim….

Sudah seminggu tidak sempat bercerita bertanya khabar perkembangan diri pelatih. Kerja-kerja mengemaskini rekod terpaksa diberi tumpuan. Sudah menjadi kebiasaan pelatih-pelatih memang perlu dipantau hati, fikiran dan keperibadian mereka sekerap mungkin. Hari itu, jelas kelihatan hayunan langkah dan gerak badan yang semakin tidak bersemangat dan bertambahlah bijak membuat perangai yang boleh mencabar kesabaran warden dan pengurus. Kaedah yang biasa saya gunakan untuk mengetahui khabar pelatih-pelatih adalah dengan meminta mereka menulis rasa hati dan sebarang hal yang nak disampaikan pada saya. Ketika itu, masalah sepanjang seminggu mereka akan saya ketahui walaupun  tidak banyak. Ada yang mengadu kesalahan sahabat, ada yang memberitahu kesalahan sendiri, ada yang beri isyarat tanda rasa serba salah dan tidak kurang juga mengadu ketidakkekuatan diri melakukan perkara yang baik. Helaian kertas luahan hati mereka saya ambil dan saya simpan untuk diamati kemudian. Selesai mereka menulis giliran saya pula untuk bercakap. Saya akan berkongsi beberapa pengajaran yang boleh saya ceritakan pada mereka sepanjang tugasan saya diluar yang tidak melibatkan mereka. Mereka suka mendengar perkongsian pengalaman. Terpulanglah pada mereka untuk mengambil iktibar atas apa yang diceritakan.

Setelah berbincang dengan sahabat warden (umi) tentang masalah pelatih berdasarkan pemerhatian dan luahan rasa, dapat kami simpulkan yang mereka mula tidak bersemangat dan sindrom malas merajai diri. Rasa letih mula menjadi alasan utama untuk melakukan ibadat dan semua yang wajib dilakukan di RS. Saya mengambil keputusan untuk bercakap dengan mereka.

“Siapa dah rase penat nak buat baik?” soalan yang tidak perlu jawapannya pada ketika itu. Hanya pertanyaan yang perlu difikirkan dalam-dalam oleh pelatih itu sendiri. Semua pelatih tunduk. Tidak angkat muka. Tidak pasti apa yang mereka rasa dan fikirkan, tetapi selalunya jika mereka tunduk itu tanda mereka sudah rasa bersalah.

“Ingat, tiada siapa yang boleh tolong diri kita kalau kita sendiri tak mahu tolong diri sendiri’.

Bukan mudah untuk mereka lakukan perkara yang baik dengan istiqamah di RS. Suasana yang mereka biasa sebelum ini (di luar RS) sangat berbeza dengan kehidupannya di sini. Penuh dengan tertib, disiplin, penghayatan ehsan dan tindakan yang perlu didahulukan dengan berfikir. Perkara yang baru dan membosankan selagi mana mereka tidak dapat merasa nikmatnya. Tetapi itulah perkara yang perlu kita bantu mereka tanpa jemu. Menegur kesalahan yang sama dan masalah sikap yang sama. Kalau tidak hari ni mereka sedar mungkin esok, lusa, minggu depan, tahun depan atau sekalipun masa kita tiada lagi di dunia ini.

“Kalau korang semua penat nak buat baik, tapi kami di sini tak kan penat nak ajar korang buat baik”. Nada yang penuh dengan ketegasan tetapi terselit seribu kasih sayang di hati.

Hanya Allah yang mengetahui. Kata-kata ini selalu keluar dari mulut saya dan sahabat warden di RS apabila  mula melihat masalah mereka semakin serius.

Mantan warden RS penang
Noreen (Muha Anun)
(Perkongsian pengalaman ketika masih menjadi warden di RS penang.)

Hari Ibu bersama Wanita JIM Pulau Pinang

Tanggal  10hb Mei 2009, Wanita JIM Pulau Pinang telah mengadakan kunjungan mahabbah ke Raudhatus Sakinah. Tujuan lainnya adalah untuk sama-sama meraikan serta memeriahkan lagi sambutan “Hari Ibu” bersama-sama dengan pelatih RS Pulau Pinang. Rombongan Wanita JIM diketuai oleh Puan Mardiana  Abdul Rahim selaku Ketua Wanita JIM  Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Raudhatus Sakinah Pulau Pinang.

Setibanya di Raudhatus Sakinah, program dimulakan dengan sesi taaruf bersama-sama pelatih RS serta jiran tetangga yang turut sama menyumbang jasa sepanjang pembukaan RSPP. Ucapan ringkas daripada Puan Mardiana membuka tirai program pada hari itu. Setelah itu, program diteruskan dengan slot tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Sa’uodah. Suasana hening menyelebungi bait RS kerana masing-masing memberikan tumpuan yang sepenuhnya sepanjang program berlangsung.

Pelatih-pelatih Raudhatus Sakinah tidak mahu ketinggalan dalam menyemarakkan lagi suasana pada pada pagi itu dengan mempersembahkan sebuah drama ringkas yang berkisar mengenai pengorbanan seorang ibu terhadap  anak kandungnya sendiri. Selingan iklan yang dipertontonkan menggamatkan lagi suasana. Para tetamu terhibur dengan keletah yang ditonjolkan oleh ‘anak-anak’ Raudhatus Sakinah.

Kira-kira pukul 11.30 pagi hidangan ringkas telah disediakan untuk para tetamu. Makan beramai-ramai sudah semestinya menjadi adat di RSPP kerana ia dapat membina hubungan yang lebih kukuh dan erat.

Program diteruskan dengan tayangan video pendek daripada Puan Mardiana serta Puan Azizah.

Program berakhir kira-kira pukul 12.30 tengahari. Justeru itu, sekalung ucapan terima kasih dihulurkan buat Wanita JIM Pulau Pinang serta jiran-jiran tetangga di atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama pelatih RSPP sempena sambutan “Hari Ibu”.

Moga Allah s.w.t memberkati umur kita yang lalu serta sisa umur kita yang masih tinggal dan dapat kita bertemu lagi pada masa-masa akan datang. InsyaALLAH.

Nukilan,

Warden RSPP

Gambar-gambar sekitar program boleh dilihat dalam galeri.

Kunjungan Wanita JIM Kedah

Pada hari Sabtu 2 mei 2009, Wanita JIM Kedah membuat kunjungan ke RS Pulau Pinang. Rombongan diketuai oleh Ketua Wanita JIM Kedah, Puan Maimunah Beon a.k.a  ummi Mai.

Program pada hari itu dimulai dengan sesi taaruf antara tetamu yang hadir dengan pelatih-pelatih Raudhatus Sakinah, Pulau Pinang.

Seusai taaruf,  slot pengisian sempena menyambut ‘Hari Ibu”  telah disampaikan oleh Ummi Mai yang mana antara kupasannya banyak menyentuh mengenai kewajipan sseorang anak untuk menghargai setiap pengorbanan ibunya.

Menu santapan pada tengahari itu disediakan oleh rombongan Wanita JIM Kedah yang turut dibantu oleh warden RSPP.Setelah slot Ummi Mai berakhir, tibalah masa untuk sama-sama menjamu selera dengan hidangan istimewa yang telah disediakan oleh tetamu. Kegembiraan jelas terpancar di wajah “anak-anak” Raudahtus Sakinah dengan kehadiran tetamu dari Kedah itu. Solat zohor secara berjemaah mengeratkan lagi kasih sayang yang sedia ada.

Sebelah petang diadakan pula bengkel antara tetamu dengan pelatih-pelatih RSPP. Perkongsian pengalaman antara pelatih RSPP dengan para tetamu merupakan antara pengisian di dalam bengkel tersebut. Bengkel tersebut menutup tirai program pada hari itu.

Pihak Raudhatus Sakinah Pulau Pinang mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita JIM Kedah di atas kesudian mengadakan kunjungan ke RSPP. Harapan kami, ahli bait RSPP moga usaha sebegini dapat diteruskan lagi pada masa depan. Moga Allah s.w.t mengikat hati-hati kita di atas rasa mahabbah yang berpanjangan di atas jalan-NYA.

Nukilan,

Warden RSPP