Archive for July, 2009

TOT ABJZ selesai sudah

Tots ABJZ 016aTOT ABJZ  Zon Utara selesai sudah. Kini tiba giliran para peserta pula menyusun langkah. Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka untuk semarakkan kempen ABJZ di mana-mana sahaja.

Alhamdulillah, program sehari ”Training of Trainers” Anda Bijak Jauhi Zina Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) telah selamat diadakan pada 11 Julai 2009 di Dewan Zamrud 2, Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, SPU. 56 orang peserta telah hadir dalam program ini.

Program ini dianjurkan oleh Wanita JIM Pulau Pinang dan Raudhatus Sakinah dengan kerjasama J/K MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang, KRJ PP dan Wanita JIM SPU. Pihak Lembaga Pengurusan Induk Raudhatus Sakinah (LPIRS) yang diketuai oleh Ummi Rose, Cikgu Siti Aini, Kak Roha dan Kak Yus (Pengerusi RS Selangor) telah menjayakan program ini.

Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi latihan kepada mereka berminat bersama-sama menjayakan kempen ABJZ di tempat masing masing agar lebih ramai lagi remaja dapat disantuni. Ummi Rose memulakan pembentangan Sekilas ABJZ: Di sini bermula segalanya diikuti oleh Cikgu Siti Aini; Tip-tip pengurusan dan penganjuran ABJZ. Ummi Rose kemudian mengambil alih dengan pengisian Berapa Harga Dirimu diikuti oleh Kak Yus ;Aspek Reproduksi yang perlu ditekankan dalam ABJZ.

Pada sebelah petang Kak Roha mengendalikan sesi Talk Show:Sembang-sembang Cinta; Beliau telah berkongsi tip tatacara mengendalikan forum. Para peserta seterusnya menjalani sesi Bengkel ABJZ: Bukan sekadar Teori mengikut kumpulan yang ditetapkan dan seterusnya mempersembahkan hasil perbincangan mereka.

Buku-buku tulisan aktivis JIM agak laris dijual dengan adanya dua program selari pada hari tersebut (selain belian peserta TOT ABJZ). Ketiga-tiga program berkongsi ruang legar yang sama (agak comel untuk tiga dewan). AJK pendaftaran TOT ABJZ telah bertukar menjadi penjual buku. Agak sibuk juga mereka melayani soalan-soalan dari orang luar. Pada mulanya mereka tertarik dengan bunting yang diletakkan dipintu masuk dewan. Kami mengambil peluang untuk menerangkan tentang ABJZ dan JIM dan seterusnya mempromosikan buku-buku tulisan aktivis JIM. “Buku ini sesuai untuk anak remaja. Penulisnya kat dalam. Encik/puan nak autograf ke?”, “Yang ni pulak sesuai untuk isteri”. Itu antara ayat-ayat yang digunakan.

Jazakumullahu khairan kathira kepada rombongan dari RS pusat kerana sudi datang ke utara walaupun mempunyai banyak urusan lain. Saya bagi pihak penganjur memohon kemaafan di atas segala kekurangan dan kesilapan yang berlaku.

Semoga peserta dapat menggunakan segala tip yang telah dikongsi oleh rombongan RS pusat dengan sebaik mungkin. Kerja-kerja nahi mungkar terutamanya dalam menangani gejala sosial perlu digiatkan di serata tempat. Semoga usaha-usaha kerdil ini dikira sebagai amal soleh kita kelak.

Inayah Isa

Koordinator

TOT ABJZ Zon Utara

Gambar-gambar boleh dilihat di sini

Advertisements

Dua tahun sudah berlalu 1…

9 Julai 2009, genaplah dua tahun Raudhatus Sakinah Pulau Pinang (RSPP) mula beroperasi. Bermacam-macam peristiwa pahit manis telah kami tempuhi. Kakitangan juga bertukar ganti, cuma aku masih kekal di sini. Asalnya hanya ingin memastikan satu institusi dalam JIM ini tertubuh di Pulau Pinang. Aku menawarkan diri untuk menjadi Pengurus RSPP sementara. Sebenarnya aku sendiri kurang pasti dan kurang berani untuk memikul tanggungjawab tersebut. Kumaklum RS wujud dalam JIM, namun tidak banyak yang kutahu tentang  RS. Sekadar pusat bimbingan Remaja Puteri.

Ada tiga batang pokok durian dalam kawasan rumah RSPP. Buahnya agak banyak.

Ada tiga batang pokok durian dalam kawasan rumah RSPP. Buahnya agak banyak.

Allah adalah sebaik-baik perancang. Dia yang Maha Mengetahui kelemahan dan kekuatan hambaNya. Dengan pegangan tersebut aku terus menghayun langkah ke depan. Segala rintangan dan ujian yang datang kami (kakitangan RS) harungi bersama. Kesabaran kami benar-benar diuji. Pergantungan kepada Allah juga bertambah kukuh. Makna-makna istilah yang banyak dikutip semasa usrah dan kuliah kami hayati dengan sepenuh hati. Di sini kami belajar erti tawakkal kepada Allah dengan lebih baik. Ini adalah medan yang sebenarnya…

Inilah rumah baru RS PP. Seorang insan telah berhati mulia telah menawarkan rumah beliau untuk RS PP

Inilah rumah baru RS PP. Seorang insan berhati mulia telah menawarkan rumah beliau untuk RS

Alhamdulillah. Itulah sebaik perkataan. Kini RSPP sudahpun berpindah ke rumah baru. Insya Allah aku akan cuba kongsikan pengalaman-pengalaman meneladani anak-anak remaja yang tersasar ini. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk bersama-sama menangani masalah sosial yang kian merebak ini.

Gambar-gambar di dalam galeri: Sekitar rumah Baru RS