Archive for August, 2010

Novel Cinta

Koleksi cerita teladan anak-anak RS

“Anak saya suka baca novel cinta. Novel-novel tu tebal-tebal, puan.” ujar seorang ibu dalam satu sesi pertemuan baru-baru ini.

“Novel macamana tu.” kutanya ibu tersebut.

“Saya cuba baca sebuah novel tu. Naik geli geleman dibuatnya.” katanya lagi

“Jalan ceritanya macamana? Boleh puan kongsikan” aku bertanya kembali.

“Macam cerita depa la. Mula-mula berkawan. Lepas keluar dating, mula yang ringan-ringan. Lepas tu berzina. Gugurkan anak sampai dua, tiga kali. Hujung cerita mereka berkahwin dan hidup bahagia.” malu-malu ibu tersebut membuat sinopsis sebuah buku. Suaminya ada di sebelah beliau.

“Anak saya rajin beli buku. Dia tak sabar-sabar ke kedai buku kalau ada novel baru berada di pasaran. Dia akan meminjam dari perpustakaan kalau tidak berjaya membeli buku tersebut.” sambungnya lagi.

Sukar digambarkan perasaanku ketika itu. Tidak kusangka novel-novel yang ada di pasaran sekarang begitu dahsyat jalan ceritanya. Aku cuma bayangkan cerita-cerita kekasih terpisah kerana halangan keluarga, cerita adanya orang ketiga dalam suatu hubungan dan seumpamanya.

Bayangkanlah sekiranya sorang gadis remaja yang membaca sepuluh buah novel yang seperti di atas. Jiwanya penuh dengan khayalan cinta sebegini. Apabila seorang jejaka idamannya hadir menabur cinta dan janji manis, secara spontan dia akan cuba menghidupkan jalan cerita yang berada di alam khayalan.

Wahai bapa-bapa, wahai ibu-ibu. Mohon sekali-sekala jenguk-jenguklah rak buku anak-anak kalian. Si gadis manis kalian tentunya berasa gembira dan teruja sekiranya ayah cuba mengambil tahu apa yang dibacanya. Gunakan bulan Ramadhan ini untuk bersama-sama dengan gadis-gadis cilik kalian. Di luar bulan Ramadhan,kebanyakan hari ayah akan balik di waktu malam. Si ayah pasti akan cuba meraikan bulan yang penuh keberkatan ini dengan berbuka dengan ahli keluarga. Gunakan masa-masa yang ada untuk mendekati mereka.

Inayah