Archive for March, 2011

Cuti dan kerja

Tidak lama lagi pelajar-pelajar universiti akan bercuti. Kali ini memang bercuti panjang kerana adanya penyelarasan semester baru. Saya pasti ramai di kalangan mereka yang akan mencari kerja sementara semasa cuti ini. Ada yang akan bekerja di pejabat, di stesen minyak, di pasaraya atau di mana sahaja asalkan mendapat sedikit wang saku.

Alhamdulillah. Mereka masih memilih untuk mencari kerja yang halal. Sebagai ibu bapa atau penjaga, saya kira ada baiknya untuk sesekali berkunjung ke tempat kerja, ke rumah sewa mereka. Siasat sedikit latar belakang kawan-kawan mereka.

Macam-macam hal yang berlaku di luar sana. Ada tokey yang menyediakan rumah sewa. Pastikan rumah sewa yang berasingan lelaki dan perempuan. Ada kes di mana rumah yang di sewakan hanya sebuah. Para pekerja dilonggokkan beramai-ramai ke dalam rumah tersebut tanpa mengira jantina. Sudah lama perkara seumpama ini berlaku tetapi masyarakat tidak mengetahuinya. Yang tahu seolah-olah memejamkan mata.

Dalam satu kes yang kami pernah kendalikan. Dua pasangan remaja mendapat kerja di sebuah kedai telekomunikasi. Tokey menyediakan rumah sewa. Mereka berempat diberi satu bilik. Satu pasangan berhenti seminggu kemudian. Jadilah satu pasangan yang tinggal seperti belangkas. Pergi kerja bersama, balik kerja berjalan-jalan bersama dan balik rumah berkongsi bilik yang sama. Rutin ini berjalan beberapa bulan sehinggalah si gadis hamil. Pada keluarga diberitahu tinggal di rumah sewa, berasingan lelaki dan perempuan.

Ibu bapa zaman sekarang harus lebih berhati-hati dan perihatin. Perwatakan anak di rumah jauh bezanya ketika mereka bersama kawan-kawan. Sebahagian dari mereka dilihat menjaga solat dan masih membaca Al Quran ketika berada di rumah. Namun saya amat pasti ada sesuatu yang tidak kena pada solatnya, mungkin sekadar berlakon atau sekadar rutin.

Bukankah Allah telah mengatakan bahawa solat itu mencegah kemungkaran (rujuk surah Al Ankabut, ayat 45), menjadi bagi perisai bagi orang-orang yang beriman. Tidak mungkin Allah memungkiri janjiNya.

Awasilah anak-anak anda walau di mana mereka berada dan walau sebesar mana usia mereka. Tetapi harus diingat, biarlah dengan penuh hikmah bak pepatah Melayu ibarat menarik benang dalam tepung, benang tak putus, tepung tidak berselerak.

Sekiranya ibu bapa pening kepala dalam menyantuni mereka, sebenarnya mereka lagi bercelaru mencari jati mereka. Panduan dan bimbingan yang berterusan akan membawa mereka ke jalan yang betul. Usah biarkan mereka terkapai-kapai mencari arah tujuan hidup.

Inayah Isa
Nibong Tebal
15032011

Advertisements

Kebejatan sosial??

Kisah yang saya korek dari seorang remaja yang hamil luar nikah. Berbelit-belit ceritanya. Perasaan marah saya sudah hilang setelah beberapa lama bersama anak-anak sebegini, saya lebih kasihan mendengar kisah mereka.

Anak ini seorang pelajar IPT, berkawan dengan seorang lelaki,R, yang sudah bekerja. Hujung minggu dihabiskan di rumah kawan lelaki ini. Ibu menyangka dia berada di asrama. Talipon.. siapa juga boleh berkata’ “saya di asrama mak. Banyak kerja perlu disiapkan. Minggu ini saya tak balik rumah”.Itulah yang berlaku buat beberapa ketika.

Tiada apa yang baru dengan kisah di atas. Banyak kes RS sebegitu….

R tinggal bersama dengan kakaknya sekeluarga. Mereka tahu dia berada di sana dan tidak kisah pun apa yang gadis tadi lakukan bersama teman lelakinya. Berada di ruang tamu atau di dalam bilik tiada yang ambil peduli!

Di rumah itu juga tinggal seorang lagi anak gadis berusia 15 tahun, S. S pula mangsa keruntuhan rumahtangga ibu bapanya, lalu menumpang kasih pada anak muda,Y, yang merupakan anak saudara kepada R. Kini sudah dua orang anak lahir dari perkongsian hidup tanpa nikah dengan Y. Kenapa mereka tidak berkahwin sahaja? Ibu Y,iaitu kakak R memang tidak ambil peduli.

Y tidak memiliki kad pengenalan walaupun sudah berusia lebih 20 tahun. Dan atas alasan itulah yang digunakan untuk tidak berkahwin..”tak ada IC” Betul juga ya, macamana hendak bernikah jika tiada kad pengenalan!!

Buntu dibuatnya. Inilah angkara apabila orang tua tidak memainkan peranannya dengan betul.

Ayuh sahabat-sahabat sekalian. Marilah bersama-sama memikul tanggungjawab ini. Bimbinglah anak-anak di sekeliling kita. Jenguklah anak-anak saudara kita.

Sesungguhnya amat pedih azab dari Allah. Kita mohon perlindungan dariNya.

Inayah
18032011

Bantulah…

Hari ini saya ke hospital lagi untuk menjemput salah seorang pelatih.

Saya memerhatikan gelagat manusia semasa menunggu seorang sahabat. Dua buah kereta diletakkan di ruang menurun dan mengambil penumpang. Ada seorang tua berada di dalam kereta hadapan. Enjinnya menderum-derum kuat, jenis kereta orang muda. Kereta belakang pula ditinggalkan begitu sahaja. Jalan jadi sesak buat seketika kerana kedua-dua kereta itu menghalang lalu lintas.

Tiba-tiba muncul sepasang suami isteri yang telah lanjut usia. Si suami menolak isteri dalam kerusi roda. Beberapa saat kemudian baru saya sedar sebelah kakinya tiada dan berbalut dengan kain putih. Saya kagum melihat ketabahan mereka berdua. Masih tersenyum riang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Tidak lama selepas itu muncul pula seorang lelaki muda, rambutnya yang panjang diikat rapi, menolak sebuah kerusi roda kosong dan terus menjemput lelaki tua tadi. Sebelah kakinya juga tiada. Saya kira itu ayahnya. Dia menolak ayahnya ke klinik, membiarkan keretanya menderum-derum di situ. Dia datang kembali selepas itu untuk membawa keretanya ke parkir. Hati saya tersentuh.

Memang agaknya ‘cerewet’ urusan menghantar dan mengambil pesakit di hospital. Kehadiran pembantu sangatlah dihargai. Mana hendak mengangkat barang, ditambah pula hendak menolak kerusi roda. Kalau RS, ditambah lagi satu tugas iaitu untuk memegang bayi.

Biasanya saya ditemani oleh warden atau pelatih. Dalam keadaan tertentu saya adakalanya ke hospital seorang diri terutama apabila berada di perjalanan dan menerima panggilan dari hospital yang pelatih dibenarkan pulang. Hari ini saya bertuah kerana ditemani sahabat dari SPT, Eida, yang kebetulan berada di sekitar Seberang Jaya menguruskan syarikat beliau. Alhamdulillah..

Peristiwa yang sangat menginsafkan diri saya. Jagalah kesihatan diri dan keluarga.

Kasih sayang yang ditunjukkan oleh suami dan anak tadi amat menyentuh perasaan saya. Mereka yang sakit memang tidak terdaya, mengharap bantuan siapa sahaja yang ada.

Bantuan yang nampak kecil sebenarnya begitu bermakna bagi orang yang memerlukan. Bagi RS yang kecil-kecilan itu termasuklah hanya mengangkat beg ke kereta atau hanya menyorong kerusi roda. Semoga bantuan kecil-kecilan itu berat timbangannya apabila kita memerlukan di sana nanti.

Inayah
Farmasi Hosp Seb Jaya
09032011