Novel Cinta

Koleksi cerita teladan anak-anak RS

“Anak saya suka baca novel cinta. Novel-novel tu tebal-tebal, puan.” ujar seorang ibu dalam satu sesi pertemuan baru-baru ini.

“Novel macamana tu.” kutanya ibu tersebut.

“Saya cuba baca sebuah novel tu. Naik geli geleman dibuatnya.” katanya lagi

“Jalan ceritanya macamana? Boleh puan kongsikan” aku bertanya kembali.

“Macam cerita depa la. Mula-mula berkawan. Lepas keluar dating, mula yang ringan-ringan. Lepas tu berzina. Gugurkan anak sampai dua, tiga kali. Hujung cerita mereka berkahwin dan hidup bahagia.” malu-malu ibu tersebut membuat sinopsis sebuah buku. Suaminya ada di sebelah beliau.

“Anak saya rajin beli buku. Dia tak sabar-sabar ke kedai buku kalau ada novel baru berada di pasaran. Dia akan meminjam dari perpustakaan kalau tidak berjaya membeli buku tersebut.” sambungnya lagi.

Sukar digambarkan perasaanku ketika itu. Tidak kusangka novel-novel yang ada di pasaran sekarang begitu dahsyat jalan ceritanya. Aku cuma bayangkan cerita-cerita kekasih terpisah kerana halangan keluarga, cerita adanya orang ketiga dalam suatu hubungan dan seumpamanya.

Bayangkanlah sekiranya sorang gadis remaja yang membaca sepuluh buah novel yang seperti di atas. Jiwanya penuh dengan khayalan cinta sebegini. Apabila seorang jejaka idamannya hadir menabur cinta dan janji manis, secara spontan dia akan cuba menghidupkan jalan cerita yang berada di alam khayalan.

Wahai bapa-bapa, wahai ibu-ibu. Mohon sekali-sekala jenguk-jenguklah rak buku anak-anak kalian. Si gadis manis kalian tentunya berasa gembira dan teruja sekiranya ayah cuba mengambil tahu apa yang dibacanya. Gunakan bulan Ramadhan ini untuk bersama-sama dengan gadis-gadis cilik kalian. Di luar bulan Ramadhan,kebanyakan hari ayah akan balik di waktu malam. Si ayah pasti akan cuba meraikan bulan yang penuh keberkatan ini dengan berbuka dengan ahli keluarga. Gunakan masa-masa yang ada untuk mendekati mereka.

Inayah

Latihan kebakaran…

Jam 9.00 pagi 16 Mei 2010, para pelatih RSPP ‘dikerahkan’ untuk berkumpul di luar rumah. Kemudian, terdengar siren kereta bomba dari kejauhan dan tiba di RS serta menyemburkan air ke atap dan di bahagian belakang rumah.

Penduduk kampung terkejut dan panik menyangka ada kebakaran. Ramai yang datang untuk meninjau suasana. Rupa-rupanya sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Serdang datang ke RS untuk memberi latihan asas kebakaran. Pasukan tersebut diketuai oleh Che Man dan disertai 5 orang anggota.

Program dimulakan dengan demonstrasi memadam api oleh tiga orang anggota bomba diikuti dengan taklimat mengenai cara untuk menyelamatkan diri ketika berada dalam kebakaran serta sesi soal jawab dengan Che Man.

Selepas itu diadakan taklimat mengenai penggunaan APA iaitu alat pemadam api oleh En Abdullah dan En Sobri. APA digunakan untuk kebakaran yang berpunca dari minyak. Teknik penggunaan yang betul ialah TTT iaitu tarik, tekan & tuju.

En Sobri telah membuat demonstrasi memadam kebakaran yang berpunca dari petrol diikuti latihan memadam kebakaran oleh pelatih-pelatih RS dan warden.

Kemudian, pelatih-pelatih diberi kesempatan untuk melihat peralatan-peralatan di dalam kenderaan bomba dan diberi peluang menggunakan “Compress Air”-udara dimampatkan, digunakan untuk ahli bomba berada di ruangan yang mempunyai asap tebal, jangka hayat 30 minit.

Sesi berakhir latihan ini berakhir pada jam 11.30 pagi.

Untuk melengkapkan lagi keselamatan RSPP, papan elektrik yang tertulis perkataan ‘KELUAR’ juga telah dipasang di pintu utama dan belakang RSPP.

Pihak RSPP merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Serdang di atas kesudian memenuhi jemputan untuk mengadakan latihan asas kebakaran di RSPP.

Taklimat, demonstrasi dan latihan yang diberikan telah menambahkan ilmu dan membina keyakinan pelati-pelatih untuk menghadapi kebakaran. Pihak pengurusan akan mengambil tindakan bagi menngatasi beberapa kelemahan yang ada terutama jangkamasa pelatih mengosongkan bangunan. Semoga usaha gigih sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Dr Aida
Unit Keselamatan RSPP

BOLEH BERUBAH KE BUDAK-BUDAK YANG MASUK RS NI?……

Alhamdulillah…cinta, kasih dan sayang pada RS tidak pernah padam malah semakin menebal, tambahan baru-baru ni saya berkesempatan bersama seorang bekas pelatih RSPP selama tiga hari di kediaman saya. Selama itu jugalah kami banyak bertukar-tukar cerita dan saya dapat tahu perkembangan pelatih-pelatih lain yang tak dapat saya hubungi. Apa yang boleh saya katakan saya bahagia mendengar kabar mereka. Kebanyakan mereka minta untuk mereka ditarbiah di RSPP kembali. Mereka rasa bahagia berada di RSPP. Tidak dinafikan banyak mihnah dan tribulasi hidup yang mereka gagal hadapi, namun hati mereka sudah kenal Robbnya. Allah yang Maha Penyayang yang terus menyayangi mereka apabila mereka diuji. Mereka sukar untuk mendapatkan manusia yang berbicara tentang status hamba pada Tuhannya. Kata-kata itu hanya di RS, tidak di rumah dan kawan-kawan persekitaran mereka sekarang. Pakai tudung depan abang ipar pun dikatakan buat susah-susah sahaja. Terencat ilmu untuk dipraktikkan. Adakah pelatih atau RS yang harus dipersalahkan?. Tiada kayu ukur untuk menilai mereka berubah menjadi seperti apa atau sampai mana?.. Cukuplah ilmu RS, Kak Inayah, Ummi Adawiyah, Kak Nureen, Kak Safarina, Kak Lin, Ummi Ros, Ibu Yus tersemat kemas di hati pelatih-pelatih RSPP. Kasih sayang kami tidak pernah padam sekali pun pelatih sudah bergelar bekas pelatih.

Kebanyakkan ibu dan bapa malah saudara mara yang menghantar anak-anak ke RSPP bertanyakan “boleh berubah ke budak-budak nakal ni?”. Kadang-kala ada juga sukarelawan tetap mahupun mana-mana sukarelawan yang berprogram di RSPP bertanyakan soalan yang sama pada kami (warden-warden dan pengurus RS). Tidak kurang juga sahabat-sahabat saya sendiri. “Awak jage budak-budak nakal ni, confirm ke diorang berubah?”. Rasa nak marah pun ada sebab yang bertanya tu pun lebih kurang sahaja baik dari cara berfikir mahupun berpakaian. Tapi saya hanya mampu tersenyum dan menyusun kata menjawab soalan mereka. Kalau dengan kawan-kawan rapat tu memang siap pekej sekali la, adelah yang kena bidas. Dalam hati saya, saya sekadar mengingatkan mereka dan sebenarnya lebih mengingatkan diri sendiri. Itu tanda saya sayangi mereka. Jawapan yang saya beri setiap kali ditanya adalah berbeza mengikut masa, orang dan tempat. Tapi asas jawapan adalah hidayah di tangan Allah, kami hanya mampu berusaha membantu berbekalkan pengalaman dan sedikit ilmu yang Allah pinjamkan pada kami/saya yang selebihnya bergantung kepada pelatih itu sendiri.

Boleh dikatakan hampir kesemua pelatih yang masuk RS adalah berpunca dari mangsa keadaan. Mangsa keadaan ni seperti masalah keluarga yang memang bermasalah, keluarga yang sporting tak kena gaya, keluarga yang tidak berusaha meningkatkan kualiti sebagai hamba pada tuhanNya, persekitaran yang lebih mengajar mereka takut manusia dari takut Allah (takut orang kata, bukan takut Allah) dan pentingkan dunia berlebihan dan kawan-kawan yang bangga dengan kemungkaran yang dilakukan. Jadi, macam mane tu?….bukan nak ikut cara Nabil(Raja Lawak) tapi tu la ayat yang sesuai…LU FIKIRLAH SENDIRI….!!!. Bantu kami di RS ni dengan doakan pelatih RS dan lagi banyakkan doa apabila mereka bergelar bekas pelatih. Usaha lain, tingkatkan ilmu untuk bantu diri, adik-beradik, mak ayah, abang kakak, ipar duai, datok nenek dan kawan-kawan. Jangan takut buat kerja amar maaruf nahi mungkar ni. Jangan takut kita tak sama dengan orang lain bab dunia ni. Selalu kami di RS berpesan pada pelatih-pelatih RS dan diri kami sendiri “Kalau kita dahulukan akhirat InsyaAllah dunia kita dapat, Kalau nak dunia belum tentu dapat dunia apatah lagi akhirat”. Payah nak buat tu….tapi kita kena buat…

Muha Anun binti Mohd Noor (K.Nreen)
Mantan warden RSPP &
Mantan Penolong Pengurus RSS.

Hukum memberi dan menjawab salam

Assalamualaikum.. tak jawab berdosa, jawab gatal.

Itu adalah ayat yang biasa kita dengar. Bila seorang remaja bertanya soalan tersebut bagaimana kita harus memberi penjelasan kepadanya.

Jawapan kepada persoalan di atas saya temui semasa menjadi seorang ahli panel forum bagi program Anda Bijak Jauhi Zina anjuran Wanita JIM Perlis pada penghujung Julai lepas. Ahli panel lain terdiri daripada Ustazah Ruswati dan pegawai perubatan pusat kesihatan Kangar (dah lupa nama beliau ..)

salam2

Petikan buku teks syariah tingkatan 4

Jawapannya ada dalam buku teks syariah tingkatan 4.

No 1- Salam seorang lelaki kepada seorang perempuan atau sebaliknya yang tidak mempunyai hubungan mahram adalah tidak disunatkan kecuali dalam keadaan yang aman dari fitnah. Harus memberi dan menjawab salam perempuan untuk tujuan pendidikan seperti pelajar kepada gurunya.

No. 2- jika seorang lelaki memberi salam kepada gadis remaja maka TIDAK HARUS dia menjawabnya

No. 3- jika seorang gadis memberi salam kepada seorang lelaki maka MAKRUH lelaki tersebut menjawab salamnya

Banyak perkara menarik yang saya perolehi semasa menjadi ahli panel tersebut. Mengapa baru kini saya dapat kongsikan di sini? Sebenarnya saya baru sahaja memperolehi buku teks syariah ini pada minggu lepas. Pasukan ABJZ telah dijemput berceramah di Sekolah Menengah Agama Nibong Tebal. Rupanya bab salam ini dibincangkan dengan mendalam oleh pelajar tingkatan empat.(yang ambil pengkhususan syariah)

Insya Allah saya akan kongsikan beberapa peristiwa menarik sepanjang menyantuni remaja dalam program ABJZ. Sebenarnya saya yang banyak belajar dari mereka. Semoga kita mendapat manfaat daripada sedikit perkongsian ini.

Inayah

Kunjungan Pengarah RS dan bekas warden RSPP..

Kunjungan sulung Pengarah RS, Puan Hjh Rosmawati binti Zainal( Ummi Roses) ke rumah baru RSPP berlaku pada 10 Oktober yang lalu. Ummi Roses yang datang ke Pulau Pinang atas urusan merasmikan MPWN WJIMPP telah mengambil kesempatan untuk melawat RSPP.

Para pelatih berasa bertuah dapat berjumpa dengan Ummi Roses yang mereka selalu tatap gambarnya di belakang buku Kutemui Jalan Pulang.

Terima kasih buat Kak Ros berserta teman seperjalanan Kak Yus dan pemandu (saya tak tahu nama:)). Jemputlah datang lagi…
—————————————————————————-

bersama pelatih

bersama pelatih


Pelatih RSPP telah menerima kunjungan dari bekas warden RSPP yang pertama iaitu Puan Muha Anun Mohd Noor (kak Nureen) pada petang ahad yang lepas ,1 November. Nureen yang kini bertugas sebagai Pengurus Rumah di RSS (Selangor), pulang ke kampung ibunya. Secara kebetulan rumah keluarga beliau hanya sepelaung dari RSPP.

Kedatangan Nureen disambut meriah oleh pelatih RSPP kerana beliau membawa Qayyum (umur 1 bulan lebih) bersama. Beliau sempat berkongsi kisah dan harapan dengan pelatih RSPP. Saya tidak dapat berjumpa dengan Nureen kerana perlu menghadiri satu mesyuarat pada petang tersebut.

baby Qayyum

baby Qayyum


Kunjungan-kunjungan istimewa sebegini membuahkan rasa gembira dihati pelatih dan juga melonjakkan semangat mereka untuk membina hidup baru.

Kisah kaca……..

Kisah berlaku sekitar Julai yang lepas…
Saya tulis dalam word, baru jumpa semula.

Kaca 1.

Harapan itu umpama kaca. Sekali pecah, kalau dapat disatu semula, takkan sama dengan yang asal. Itulah kata-kata dari seorang bapa pelatih RS. Beliau terlalu kecewa dengan tindakan anaknya. Dua minggu yang lalu, saya ingatkan pelatih tersebut tentang bapanya.

Kaca 2.

tingkap kereta yang pecah
Saya dalam perjalanan ke pejabat. Sebaik selesai mengisi minyak kereta, saya keluar dari stesen minyak dan terus memandu ke arah jalan besar. Baru sahaja memasuki jalan besar, kedengaran bunyi yang pelik. Agak panik, saya berhenti di bahu jalan.

Saya jenguk ke belakang mencari punca. Saya perasan ada bunyi dari tingkap. Cermin tingkap belakang kereta telah pecah terkena serpihan batu dari kerja-kerja pemotongan rumput yang sedang dijalankan.

Temujanji dengan satu keluarga terpaksa saya batalkan. Jenuh jugalah ke sana-sini mencari bengkel dan kedai yang menjual alat ganti kereta. Selepas itu bergegas ke kedai untuk memasang cermin tersebut. Alhamdulillah serpihan cermin tidak berkecai kerana ‘dipegang’ oleh helaian ‘tinted’ cermin.

kisah ini berlaku 2,3 hari selepas kisah 1.

Kaca 3.

Pelatih di RSPP baru berpindah ke rumah baru. Ketika berada di sana, saya lihat ada beberapa barang di dapur yang tidak begitu tersusun, lalu saya minta mereka mengemas dapur. Kemudian saya keluar ke depan untuk berbincang dengan encik R yang membantu kami menyelesaikan beberapa masalah teknikal rumah.

Sedang kami berbincang, A datang. “K.Inayah, K.Lin minta datang dapur. Mata A masuk kaca” katanya. Lin adalah warden di situ. Ketika mengemas pinggan mangkuk, entah macamana sebuah piring terlepas dari pegangan A. Serpihan kecil kaca tersebut memasuki matanya. Saya minta Lin membawa A ke hospital kerana perbincangan dengan encik R belum selesai.

pindah rumah
Maka bermulalah episod ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) kerana pakar mata hanya ada di sana. A dihantar ke sana dengan ambulan. Esoknya saya dan Lin ke HBM semula untuk mengambil ubat. Berpusing-pusing jugalah kami di bandar BM mencari hospital. Saya pernah ke sana tapi mengikut orang lain. Bila memandu sendiri ni, lain ceritanya. Boleh tahan jugalah mencari parkir kereta. Semua tempat penuh. Mahu tak mahu, kami minta bantuan kawan (ahli farmasi disitu) untuk mengambil ubat tersebut. Lin terus ke farmasi dan saya menunggu dalam kereta.Tak sampai sepuluh minit, Lin kembali dengan ubat di tangannya.

Rasa bersalah amat sangat pabila buat begini. Terasa berlaku zalim pada orang lain. Saya amat mengerti ‘perasaan’ menunggu angka giliran dipanggil.Saya agak kerap berada dalam situasi ini di Hospital Sg Bakap dan Hospital Seberang Jaya.Apabila pelatih ‘perlu’ ke hospital atau klinik desa atau klinik kesihatan, penantian inilah yang membuatkan kami ‘sakit’ dulu.

Selang sehari kami perlu membawa A berjumpa pakar mata pula dan terpaksa menunggu setengah hari di sana. Seperti sebelumnya, parkir penuh walaupun kami sampai lebih awal. Lin dan A sudah ke klinik mata. Saya terkial-kial mencari parkir. Alhamdulillah terjumpa pak cik guard. Dapatlah juga saya selitkan kereta Kelisa yang comel itu di satu sudut yang sempit dengan bantuannya. Kalau harapkan saya, memang tak pandang langsung ruang tersebut…

Kisah ini berlaku dua hari selepas kisah 2.

Inayah

Mini sukaneka RS PP

Isi air dalam botol

Isi air dalam botol

Tanggal 1 Ogos 2009 telah diadakan Ukhwah Riadah di antara pelatih-pelatih Raudhatus Pulau Pinang. Dengan bertemakan Qalbun Mawaddah, aktiviti diadakan di perkarangan RSPP dengan melibatkan semua penghuni Raudhatus Sakinah. Tujuan diadakan sukaneka ini antara lainnya adalah untuk merapatkan tali silaturahim antara pelatih-pelatih RSPP serta memupuk semangat bekerjasama serta sikap bertolak ansur dalam setiap perkara.

Menariknya aktiviti riadhah ini disusun dan diselaraskan sendiri oleh pelatih-pelatih RSPP yang bertindak membentuk ahli jawatankuasa. Antara aktiviti riadhah yang di jalankan ialah:

1. Isi air dalam botol
2. Cari gula-gula dalam tepung
3. Tiup belon
4. Muzikal Chair
5. Lari susun bata
6. Taji ayam
7. Terompah tempurung
8. Berdiri atas surat khabar
9. Pancing botol
10. Bowling kelapa

Berdiri atas surat khabar

Berdiri atas surat khabar


Semua penghuni mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan. Kegembiraan jelas terpancar pada setiap wajah pelatih walaupun berada dalam kepenatan. Setiap kumpulan mempamerkan kreativiti tersendiri untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Aktiviti bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira 12 tengahari. Johan di menangi oleh penghuni bilik Aishah Al-Humaira’ dan naib johan pula di sandang oleh penghuni bilik Fatimah Az-Zahra’.

Warden RSPP