DI MANA PERUNTUKAN BAJET 2012 UNTUK MENANGANI GEJALA SOSIAL MASYARAKAT YANG SEMAKIN MERUNCING?


Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Jumaat lepas dikatakan satu bajet yang responsif kepada rintihan semasa rakyat umum. Banyak peruntukan berjuta ringgit dikhususkan untuk memperbaiki kehidupan golongan rakyat kelas biasa dan bawahan yang sememangnya wajar diberikan pembelaan.
.
Malangnya, tidak terdapat pula satu peruntukan khas dalam bajet tersebut yang menjurus kepada usaha serius menangani gejala sosial dan seksual yang semakin membarah dan meruncing dalam masyarakat hari ini. Betapa saban hari semakin meningkat pelbagai jenis gejala sosial dan seksual yang berlaku. Sebagai contohnya, terdapat peningkatan kes pembuangan bayi yang begitu ketara. Dari 79 kes yang dilaporkan oleh PDRM pada tahun 2009, ia meningkat sebanyak 15% kepada 91 kes sepanjang tahun 2010. Menurut satu laporan JKM, dari tahun 2004 – 2009, sebanyak 16% bayi yang terdampar ditemui di kawasan pembuangan sampah! Semakin ramai golongan remaja yang sepatutnya menjadi harapan bangsa dan negara, terbabit dalam pelbagai jenayah seperti samun, peras ugut, ragut, gangsterisme, ketagihan dadah dan alkohol, rogol, cabul, bunuh. Jenayah sadis yang membabitkan ahli keluarga terdekat juga semakin berleluasa.
.
Peningkatan gejala sosial yang semakin kritikal ini amat membimbangkan dan menimbulkan kesan psikologi yang mendalam kepada ahli masyarakat. Amatlah wajar, semua usaha dan sumber yang ada digembleng untuk segera menangani isu gejala sosial ini dengan pelbagai langkah pencegahan dan rawatan yang lebih berkesan, agar ianya tidak semakin parah dan di luar kawalan. Usaha komprehensif dan intensif ini pastinya memerlukan banyak sokongan dan dokongan khususnya dari pihak berwajib, termasuk memperuntukkan sumber kewangan yang mantap dan stabil bagi melaksanakan usaha yang penting ini.
.
Usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata, tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang menitikberatkan konsep amanah, integriti dan pertanggungjawaban, dibimbangi akan lebih mendatangkan mudharat dan kerosakan.
.
Sebagai pihak sukarelawan dan NGO yang sekelian lama terbabit secara langsung dengan usaha pencegahan dan rawatan pemulihan kelompok yang terlibat dengan gejala sosial dan seksual, kami yang mewakili institusi-institusi yang disenaraikan di bawah sepakat membuat penegasan menuntut semua pihak khususnya pihak berwajib :
.
1. Memberikan perhatian, tumpuan dan keutamaan sewajarnya terhadap peningkatan gejala sosial yang serius melanda negara, dan tidak mengenepikan atau menganggap remeh permasalahan tersebut.
2. Meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan masyarakat (amar maaruf) yang meluas dalam membangunkan sistem sosial yang berpaksikan keadilan, kesejahteraan, akhlak luhur dan nilai terpuji.
3. Menyusun strategi rawatan dan pemulihan yang efektif (nahi mungkar) bagi kelompok yang telah terjebak dan terjerumus ke dalam kancah gejala sosial, agar mereka dapat dibimbing untuk bangkit kembali membina kehidupan baru yang lebih bermakna.
4. Memperuntukkan belanjawan yang mencukupi untuk membiayai semua usaha dan langkah-langkah di atas, sebagai satu komitmen padu yang membuktikan kesungguhan mahu menangani permasalahan peningkatan gejala sosial yang semakin meruncing.
.
Kami memohon agar penegasan ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kepimpinan negara. Jangan biarkan kami menunggu setahun lagi untuk pembentangan Bajet 2013. Itu pun belum tentu suara dan permintaan kami akan diambilkira.
.
Ke arah Malaysia yang lebih sejahtera!
.
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Pengerusi , Lembaga Pengarah Induk (LPI)
Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah
.
Bersama wakil-wakil dari :
• Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID Malaysia)
• Rumah Puteri Arafiah
• Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan & Iman Malaysia
• Rumah Perlindungan & Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah
• Kem Modal Insan KEWAJA
• Baitul Islah PERKID
• Pertubuhan Inisiatif, Penyelidikan, Pembangunan & Pemerkasaan Wanita (WIRDA)
• Rumah Kebajikan Darul Islah
• Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq
• Keluarga Besar Norlina Alawi
• Gerakan Selamatkan Aqidah (GESA)
• Gerakan Ihsan Selangor

dari http://www.raudhatussakinah.com/

Sabarlah…

“Rimas mak tengok hang kat sini. Pi dok kat depan.”

Mungkin itu antara dialog yang kedengaran pada zaman sekarang apabila anak perempuan yang meningkat remaja mula menjengah dapur. Sebahagian ibu zaman moden lebih senang menguruskan dapur sendirian. Ya lah.. serba tak kena apabila anak-anak menolong di dapur, periuk belanga berselerak, pinggan mangkuk tidak disusun dengan betul, dapur akan bersepah. Jika ini terjadi banyak masa pula digunakan untuk mengemas semula dapur mengikut piawaian dan citarasa si ibu. Lebih baik dari awal dia sendiri yang lakukan.

Begitu juga dengan urusan kain baju. Jika diminta membasuh baju, anak-anak ini akan mencampakkan sebakul pakaian terus ke dalam mesin. Tidak dihirau tentang warna atau barang-barang kecil yang mungkin ada di dalam poket baju atau seluar. Bila selesai putaran mesin barulah disedari baju yang ‘pelik’ warnanya, wang kertas dan kadang-kadang telefon bimbit ayah terrtinggal dalam poketnya. Apabila tiba masa melipat kain pula, cara lipatan tidak sama dengan cara si ibu. Maka ibu akan mula berleter…

Itulah kerenah ibu dan anak zaman moden. Menjadi ibu bukanlah satu perkara yang mudah, terutama pada zaman yang penuh dengan teklonogi ini. Masing-masing mengejar masa. Banyak peralatan yang dibeli untuk menjimatkan masa, namun masa pula seolah-olah berlari pantas meninggalkan kita. Masa 24 jam itu seperti tidak mencukupi.

Jika kita boleh bersabar melayan kerenah anak-anak semasa mereka mula mengenal dunia, maka tingkatkanlah kesabaran itu ketika mereka mula mengenal erti hidup. Ajarlah anak-anak remaja untuk melakukan kerja-kerja rumah, baik yang lelaki atau perempuan. Pejamkan mata apabila melihat ketidaksempurnaan yang ada. Berkat latihan yang berterusan pasti ia akan menjadi sempurna juga.

Pastinya yang perempuan akan lebih banyak melakukan kerja-kerja ini secara amnya. Bagi yang lelaki pula, bantuan yang dihulurkan kepada isterinya kelak, apabila sudah berumahtangga, amatlah dihargai. Tabiat yang baik itu akan terus melekat pada dirinya.

Bukan semua orang akan hidup senang dan kesenangan itu bukanlah milik hakiki manusia. Saya melihat kisah seorang sahabat dengan penuh keinsafan. Suatu ketika dahulu dia hidup senang lenang. Ujian Allah datang dan dia pasrah. Terkeluar juga dari mulutnya di peringkat awal bahawa tidak pernah terlintas untuk berjualan kuih di tepi jalan untuk menampung hidup.

Komunikasi dengan anak remaja

Ketika anak-anak kita masih kecil lagi, belum faham apa yang kita tuturkan, kita dengan gembiranya akan bercakap-cakap dengan mereka. Tak henti-henti bercakap dengan mereka, ada sahaja usikan manja. Namun pelik jadinya. Semakin mereka fahami bahasa pertuturan kita, semakin kurang pula ibu dan ayah bercakap dengan mereka. Tika mereka mula meniti usia remaja (10 tahun), ayah akan menjadi lelaki Melayu kebanyakan (typical Malay father), yang bercakap bila perlu sahaja.. Ibu pula lebih banyak berleter.

Saya bukannya memperkecilkan tabiat lelaki Melayu, banyak nilai baik yang ada pada mereka. Cuma dalam soal komunikasi, saya rasa ia perlu diperbaiki. Anak-anak, terutama bagi yang perempuan, kehausan kasih dan sayang dari seorang lelaki dan mula mencarinya di luar. Mereka akan mudah terpedaya dengan kata-kata manis dari mana-mana lelaki yang dijumpai. Ramai yang suka mengambil kesempatan terhadap mereka ini.

Pada usia ini, jiwa mereka sangat rapuh. Ia merupakan titian dari alam kanak-kanak ke alam dewasa. Perubahan emosi berlaku seiring dengan perubahan fizikal mereka. Panduan dan bimbingan, dengan penuh hikmah dari orang tua, sangatlah diperlukan. Perbezaan pendapat dengan keluarga sangat kerap berlaku pada waktu ini. Mereka berasa sudah dewasa dan pendapat mereka betul.

Saidina Ali pernah berpesan supaya ibu bapa menjadi kawan kepada mereka pada peringkat ini, usia 14 tahun. Jadilah teman untuk mereka berbicara dan mengemukakan pendapat. Sekiranya kita tiada, sahabat lain yang dicari. Amat malang jika anak-anak ini bersahabat dengan orang yang merosakkan mereka.

Dalam satu program yang saya hadiri baru-baru ini, penceramah berpesan supaya bercakap-cakap dengan anak biarpun ketika mereka tidur. Ya.. kalau masa tidak mengizinkan, lakukanlah ketika itu. Apabila pulang dari kerja, lawati mereka di bilik tidur. Bagilah ciuman kasih dan rindu dari ibu dan bapa, bisiklah ungkapan sayang di telinga mereka. Nyatakan harapan kita. Sampaikan pesanan-pesanan kita. Secara zahirnya mereka tidak mendengar tetapi telinga mereka dapat menerima luahan-luahan tersebut dan menyimpan dalam minda bawah sedar mereka. Sedangkan ketika bayi masih di dalam kandungan ibu dinasihatkan supaya diperdengarkan dengan perkataan-perkataan yang baik (dan ayat-ayat suci Al Quran), apatah lagi ketika mereka sudah remaja. Telinga mereka sentiasa bersedia untuk mendengar ayat-ayat yang baik ini.

Saya berasa sedih dan kasihan melihat seorang penghuni di sini (Raudhatus Sakinah). Betapa dia rindukan ayahnya. Rindu untuk mencium tangan ayah. Teringin dipeluk oleh ayah. Cemburu apabila melihat dahi rakan dikucupi ayah. Kerana sebelum ini dia juga seperti gadis Melayu yang lain, tidak kisah tentang semua itu. ‘Pandai’ membawa diri sendiri. Doakanlah rindunya terubat sedikit masa lagi….

Inayah Isa